Pengikut

Rabu, 31 Januari 2018

Nangka oh Nangka

SERONOK SANGAT KE 
TANAM NANGKA….



NANGKA (Artocarpus heterophyllus) adalah sejenis buah-buahan popular dari keluarga MORACEAE yang di tanam diMalaysia untuk di makan segar dan dii proses. Terdapat seluas 3,962 hektar tanaman nangka pada tahun 2010 dengan pengeluaran sebanyak 27,459 metrik tan (Sumber Laporan statistik Jabatan Pertanian 2010). Negeri Pahang merupakan paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 669 hektar diikuti dengan Negeri Johor (515 hektar) dan Sarawak (481 hektar) pada tahun 2010.

Untuk tahun 2016 , luas bertanam untuk tanaman nangka bagi negeri Pahang adalah seluas 2,299.42 hektar dengan daerah Temerloh menjuarai keluasan bertanam 983.48 hektar. Diikuti daerah Raub, 206.97 hektar dan Kuantan 183.89 hektar. Kebanyakkan nangka yang ditanam di Pahang ditanam dikawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM ) yang ada di Pahang dimana TKPM Lanchang menjadi kawasan pengeluar utama tanaman nangka untuk negeri Pahang.

Kebanyakkan tanaman nangka yang diusahakan di TKPM ditanam secara komersial sebagai tanaman tunggal (monocrop) atau tanaman campuran dengan buah-buahan lain.

Nangka adalah tanaman saka yang mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencapai 15-20 meter. Daun nangka berwarna hijau gelap dan agak tebal serta mempunyai getah. Buah nangka terbentuk selepas pendebungaan yang keluar dari dahan dan batang pokok. Buah nangka adalah berbentuk bulat lonjong berwarna hijau ketika putik dan kuning kehijauan apabila masak. Bahagian ira nangka yang di makan lazimnya berwarna kuning kemerahan bergantung kepada varieti. Biji nangka berbentuk bulat dan mengandungi isi warna putih. Buah Nangka yang masak sering mengeluarkan getah  yang melekit ketika di kupas untuk mengeluarkan isinya. Seringkali kita mendengar kalau makan nangka perut kembung. Sebenarnya isi nangka bukanlah penyebab utama perut kita menjadi kembung tetapi permasalahan yang wujud adalah kerana kita termakan getah nangka. Kandungan getah nangka yang termakan oleh kita itu apabila termakan akan bertindakbalas dengan asid yang ada dalam perut kita akan menjadikan perut kita kembung. Tetapi percayalah , apabila anda makan buah nangka variety J33 atau lebih dikenali dengan nama Tekam Yellow , pasti anda ingin mencuba lagi. Anda hanya akan kembung jika perut anda tidak berisi penuh nangka J33.  


Isi nangka biasanya manis dan sesuai dimakan segar atau boleh diproses sebagai 'minimum process' dan disejukkan dalam peti sejuk dan rasa buah nangka yang lagi sejuk adalah lebih sedap.  
Buah nangka terutamanya variety J33 ( Tekam Yellow ) amat sesuai di proses untuk dijadikan "Vacum Fry of jackfruit chip". Ianya mempunyai potensi yang sangat besar untuk dipasarkan diluar negara. Kalau dahulu nangka hanya boleh didapati dinegara beriklim tropika, tetapi kini nangka boleh didapati dikebanyakkan negara didunia sekiranya ia dijadikan ‘Vacum Fry of Jackfruit Chip ’. Harga ‘vacum fry of Jackfruit chip’ ini dipasaran juga amat tinggi iaitu sekitar RM8-RM12 sepeket kecil ( anggaran berat sekitar 50gm – 70gm ). Agak mahal tetapi amat berbaloi jika diusahakan untuk pasaran antarabangsa.  


Bercakap pasal kesesuian tanaman nangka , nangka ini sesuai ditanam diatas tanah lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Perlu diingat kelemahan utama pokok nangka adalah kawasan yang rendah dan mudah terendam air. Ianya tidak akan kekal lama bertahan dan keberangkalian pokok tersebut mati teramat tinggi. Ada petani mengatakan sekirannya pokok nangka terendam melebihi 8 jam, kemungkinan pokok nangka akan mati.

Nangka sesuai ditanam dikawasan terbuka dan mendapat cahaya matahari yang mencukupi untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembungaan. Scara teorinya kebanyakkan tanaman buah buahan memerlukan cahaya matahari yang banyak dan juga sistem pengudaraan yang baik. Dengan pencahayaan yang banyak , maka mudahlah daun pokok membina makanan ( proses fotosintesis berlaku dengan sempurna ). Pengudaraan juga amat penting dalam pengurusan pokok nangka. Oleh itu disarankan pokok nangka perlu dibuat cantasan ‘pembentukkan’ , ‘penjagaan’ dan ‘topping’.

Tanah perlu dibajak atau di bersihkan dari semak samun sebelum menanam untuk mendapatkan kesuburan pokok yang optima dan sediakan sistem pengairan dengan sempurna. Kawasan yang dibersihkan perlulah bersih dari sebarang tunggul kayu samada dipermukaan tanah mahupun didalam tanah. Ini amat penting kerana sekiranya tunggul kayu ini dibiarkan untuk mereput sendiri, berkemungkinan ianya akan mengundang anai – anai. Perlu diingat, anai – anai amat menyukai bahan kayu yang mereput. Dikhuatiri dalam jangkamasa panjang, anai – anai ini bukan sahaja akan memakan tunggul kayu yang reput bahkan akan memakan pangkal pokok nangka juga. Walaubagaimanapun kawalan anai anai ini masih boleh dikawal dengan menggunakan racun anai anai tetapi persoalannya kita telah menambah kerja dan kos penyelenggaraan yang sepatutnya. Sistem pengairan ini selalu menjadi persoalan…, perlu ke pasang? Kalau tanam sayur memang wajiblah. Untuk menjawab persoalan ini , secara asasnya semua tanaman memerlukan 3 perkara asas iaitu ABC ( air , baca dan cahaya ). 6 bulan pertama nangka amat amat memerlukan air dimana diwaktu inilah segala sistem pokok nangka itu akan mula berkembang. Saya selalu berpesan kepada petani, kalau inginkan pokok nangka membesar dengan baik dengan harapan akan menghasilkan buah yang berkualiti , 6 bulan pertama tumbesaran pokok nangka perlu diberi tumpuan. Umpama menjaga ‘baby’ yang baru lahir…begitulah kasih sayang kita terhadap tumbesaran nangka. Dari pengalaman saya , dalam masa 6 bulan nangka terutamanya J33 akan membesar mencapai paras pinggang orang normal ( 3 – 3.5 meter ) ketinggian dan kanopi pokok mula kelihatan merimbun. Kalau tak capai pasti ada kesilapan dimana – mana. Nangka juga perlukan air semasa peringkat pengeluaran buah. Inginkan buah yang besar dan berkualiti eksport , bagilah air secukupnya kepada nangka selain pembajaan dan pengurusan yang betul. Ada juga petani mengatakan inginkan buah nangka berterusan, pastikan ladang kita dipasang sistem pengairan. Tetapi persoalan yang sering bermain, ladang kecil bolehlah dipasang pengairan ……ladang bersaiz besar bagaimana . Kos memasang pengairan bukanlah murah. Perkara ini akan saya kupas dilain lembaran.      

Memasang pagar ladang untuk mengelakan serangan binatang liar dan ternakan serta potensi kecurian dari penceroboh. Isunya nak pakai pagar jenis apa…. Yang nie bergantung kepada budget dan gaya pengurusan. Kalau budget rendah kenalah cari pagar yang agak murah sikit dan perlu diingat tak semestinya yang murah itu tak baik. Mungkin lebih baik, bergantung kepada pengurusan pula. Yang paling penting kita pasang pagar nie untuk apa…kenalpasti musuh musuh kita, samada binatang liar , ternakan atau manusia itu sendiri.     


Nangka di tanam menggunakan anak benih dari varieti atau klon nangka terpilih. Penyediaan anak benih nangka dijalankan dengan mengenalpasti dan mengesahkan varieti pokok induk (Jabatan Pertanian ada Skim Pengesahan Pokok Induk Tanaman Nangka). Pilih buah yang telah cukup matang dan keluarkan bijinya. Biji yang sesuai di masukkan dalam tapak semaian sehingga bercambah dan kemudian dipindahkan kedalam polibeg. Anak benih nangka juga boleh di buat cantuman kepada anakbenih dengan klon terpilih. Jika hendak beli anakbenih nangka dapatkan dari Jabatan Pertanian atau lain2 organisasi kerajaan atau pembekal benih swasta yang telah disahkankan ketulinan varietinya. Harga anak benih nangka lingkungan RM 5.00 (Jabatan Pertanian) hingga RM 15.00 sepokok (swasta) bergantung kepada verieti/klon , saiz pokok, jumlah dibeli dan kualiti anakbenih. Yang ni penting…sebab apa kita taknaklah tanam anak pokok yang tidak bermutu…sebab ramai kawan kawan kita terkena. Dikhabarkan inilah benih nangka yang diviralkan kononnya berisi tebal , bewarna kuning bercahaya, manis melepasi indeks kemanisan 20 keatas , mempunyai bau wangi searoma nangka dan sebagainya. Persoalannya , kita nampak ke atau dapat rasa buah waktu tu …inilah anaknya. Kita hanya akan tahu hasil nangka tersebut samada berkualiti atau tidak selepas 3 tahun berhasil. Lama tu tunggu 3 tahun …kalau baru berkahwin boleh dapat anak 3 rasanya. Jadi disinilah kita perlu mendapat kesahihan benih …sekarangkan mudah…internet kan ada…google je …semua dihujung jari …malas sangat terus ke halaman Jabatan Pertanian. Buat carian kat situ… tak puas hati lagi terus ke Pejabat Pertanian atau pusat pusat pertanian terdekat.Gunakan khidmat mereka sebaiknya….pasti ada jawapan disitu. 


2 perkara diatas yang saya sebutkan tadi merupakan langkah awal yang akan menentukan sejauh mana kejayaan projek. Ianya umpama larian 100meter. Permulaan itu adalah dan teramat penting kerana selepas ini tuan tuan akan berlari secara marathon pula menunggu hasil….

Sediakan lubang penanaman dengan jarak 9 meter x 9 meter untuk memberikan kepadatan tanaman nangka sebanyak 123 pokok sehektar. Jarak ini adalah jarak yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian hasil dari pemerhatian dan kajian. Ada orang bertanya kepada saya , kalau saya nak tanam rapat lagi boleh tak…jarang pula orang bertanya nak tanam jauh jauh….kenapa ya. Jawapannya mudah sahaja, lihat gaya pengurusan ladang tuan tuan. Ada penggunaan jentera tak…jentera tu untuk apa.Bentuk muka bumi juga diambil kira. Varieti nangka yang hendak ditanam juga memainkan peranan. Untuk makluman nangka mempunyai pelbagai varieti dan setiap variety mempunyai keistimewaan dan kelemahannya. Macam kita beli kereta… Sebelum memulakan projek kita perlu membuat “Rekabentuk Ladang” berdasarkan apa yang kita gambarkan atau inginkan seiring dengan gaya pengurusan yang akan kita amalkan juga teknologi dan jentera yang akan kita gunakan pada masa terdekat dan akan datang. Sebab apa “rekabentuk ladang” itu penting…sebab ianya akan menentukan kos pengurusan ladang dimasa hadapan. Ini perkara baru yang tengah saya pelajari hasil dari pemerhatian saya terhadap beberapa ladang yang ada di Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang. Menarikkan …’Rekabentuk Ladang’atau ‘Farm Design’.
  
Pemilihan anakbenih yang sihat dan bebas dari sebarang penyakit adalah wajib dibuat sebelum ditanam dalam lubang yang telah dibubuh baja asas (MOP) dan baja organik (Tahi ayam) dengan kadar disyorkan. Pastikan menanam tidak terlalu dalam kerana jika air bertakung dalam lubang penanaman anakbenih akan mati. Ini seringkali dibuat oleh petani. Kononnya dengan ada sedikit takungan boleh membantu membekalkan air kepada anak pokok nangka. Macam saya maklumkan diawal tadi, anak benih nangka nie takut terendam air tetapi perlukan air. Jadi janganlah menanam terlalu dalam. Kesian kat anak pokok tu…waktu yang sama kesian juga kat kita sebab kita kena kira sepokok yang mati berapa RM duit kita dah melayang…tak termasuk lagi kos tenaga kerja dan sebagainya.

Tutup anakbenih dengan daun kelapa atau keliling dengan netting hitam atau lain-lain  bahan yang sesuai dan jalankan penyiraman. Seboleh bolehnya disiram setiap hari sekurang kurangnya satu kali sehari. Kalau tak mampu pun buatlah 3@4 kali dalam seminggu. Macam yang saya cakap diawal tadi, 6 bulan pertama adalah bulan bulan kritikal yang akan menentukan nasib kita 3 tahun kehadapan.  Tandakan dengan pancang untuk memudahkan pemeriksaan. Lazimnya kawasan keliling tanaman nangka ditanam dengan tanaman kontan seperti pisang, betik, sayur-sayuran, jagung, keladi dan sebagainya sementara menunggu pokok nangka membesar. Yang nie ada bagus dan buruk. Yang bagus tuan tuan boleh buat duit projek dalam projek. Tapi kena rajin dan mempunyai kemampuan modal. Yang buruknya kalau tuan tuan tak mampu dari segi usaha , modal dan sebagainya …lebih baik fokus kepada satu tanaman sahaja. Kita tak mahu nanti nangka entah kemana…pisang dan sebagainya hanyut dilautan tak bertepi. 

Selepas menanam perlu dijalankan pemeriksaan anak pokok untuk mempastikan hanya tunas klon nangka dibenarkan tumbuh. Sering berlaku dimana tunas pokok penanti (Biasanya lebih cepat membesar dan vigorous) lebih tinggi dibiarkan dan menjadi pokok sedangkan tunas klon terpilih bersaiz kecil. Ini biasa terjadi sebab pekerja atau empunya ladang ( tauke ) tak kenal mana satu tunas penanti dan tunas klon. Jadi berhati hati disini. Kesilapan memotong membawa padah kepada anda …boleh merana dikemudian hari. Buang tunas pokok penanti dan benarkan tunas klon yang membesar dan buat pemeriksaan dengan teliti.



Cantasan pembentukan di mulakan semenjak awal lagi dengan membuang dahan (Fan shape - terutama klon nangka mastura) sekurang-kurangnya 2 kaki dari paras tanah. Ini akan memudahkan kerja-kerja pengurusan pokok nangka kemudian kelak seperti merumput, membaja, mengawal penyakit dan memetik hasil. Buah yang terlalu rendah juga mudah di serang binatang dan kotor. Kebiasaannya cantasan pembentukkan pertama dibuat selepas 3 bulan bertanam atau lebih kurang 2-3 kali tingginya. Kalau saya , 3 bulan anak pokok nangka sepatutnya sampai paras lutut ketinggiannya. Perkara ini juga akan dibincangkan dilain lembaran memandangkan cantasan ini ramai petani yang tidak membuatnya kerana sayangkan pokok. Sebenarnya salah…sayang sayang juga, tapi apalah gunanya kalau tidak ditunjuk ajar diawal awal lagi. Sayang sayang isteri ditingal tinggalkan….jangan tinggalkan terus sudahlah…begitu juga nangka.


Beberapa klon atau varieti popular nangka di Malaysia yang sesuai dan disyorkan ditanam adalah seperti Klon J29, Klon J30, Klon J31, Klon Tekam Yellow, Klon Mastura, Klon Mantin dan Klon Kristal. Terdapat lebih 25 klon nangka yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian semenjak 1936 ( Jabatan Pertanian). Klon nangka J29 mempunyai saiz besar melebihi 10 kg sebiji dengan kulit berwarna kuning dan isi kuning kemerahan. Lain-lain nangka yang berpotensi ditanam seperti Nangka Uncle Hong, Nangka Madu ( didakwa sebagai J33 @ Tekam Yellow ) dan beberapa yang lain. Klon J21 pula kecil sedikit dan sesuai untuk diekspot kerana ciri-ciri rasa manis, tahan dan disukai pengguna. Klon nangka mastura tahan kepada penyakit mati pucuk dan isinya agak berair serta 'crispy'. Di TKPM Lanchang, klon yang banyak ditanam adalah J33 @ Tekam Yellow. Hampir 97% kawasan ini ditanam dengan klon ini. Apa menariknya nangka J33 nie…yang nie juga akan saya kupas dilain lembaran. Menarikkan cerita nangka nie…patutlah ada cerita lagenda berkaitan nangka ….yang tu cari sendiri.  


Program pembajaan tanaman nangka dimulakan semasa mula menanam iaitu dengan masukkan CIRP dan baja organan kedalam lubang penanaman. Pembajaan dengan baja NPK 15:15:15 dengan kadar sebanyak 0.50 kg sepokok setahun diberikan setiap 3 bulan sekali pada tahun pertama. Kadar pembajaan semasa pembesaran (vegetative stage) ditambah kepada 1.0 kg/pokok/tahun pada tahun kedua, 1.5 kg/ pokok/ tahun pada tahun ketiga dan keempat. Pembajaan dengan baja buah NPK 12:12:17:2 sebanyak 1.5 - 2 kg sepokok setahun di berikan untuk menggalakkan penghasilan bunga dan buah. Baja organan sebanyaj 2-5 kg sepokok setahun diberikan untuk meningkatkan kesuburan tanah. Pastikan baja di tabur di sekitar kanopi pokok nangka (Bukan di perdu pokok). Terdapat petani di Johor yang menggunakan baja impot (Fast Release) seperti jenama Yara untuk menghasilkan buah nangka gred premium. Bab pembajaan ini agak subjektif untuk dibincangkan ….terlalu banyak isu. Rasanya elok juga lembaran khas untuk membincangkannya….


Musuh utama tanaman nangka adalahLalat Buah (Bactocera spp) yang akan bertelur dan larvanya akan merosakkan kualiti buah. Kaedah kawalan perosak lalat buah adalah dengan membalut putik nangka ketika putik lagi dengan kain, kertas , plastik dan sebagainya. Kebiasaanya petani di TKPM Lanchang menggunakan guni baja samada baru atau lama. Guni baja yang digunakan juga tidak boleh sembarangan. Nanti buah akan rosak….banyak pula ragamnya buah nangka ya….sabar….pasti ada jalan penyelesaian. Secara teknikal mudahnya pastikan guni yang dipakai itu bersih, tiada sisa atau lebihan baja…buat macam mana ya nak bagi bersih…basuhlah….banyak kerja weh kata orang Temerloh. Jadi kami tak guna guni baja …sebab petani kat sini malas sikit…mereka lebih berminat menggunakan beg guni makanan ikan. Maklumlah Temerloh glamour dengan ikan patin. Secara tak langsung petani kami telah membantu penternak ikan melupuskan sisa buangan mereka bahkan memberi nilai tambah pula. Kata orang , saling tolong menolong katakan….dapat makan nangka, dapat merasa ikan patin Temerloh yang terkenal dengan rasanya dan harganya…boleh tahan wehh….tapi umpph…papaleh sedapnya. Kenapa tak guna media lain….guni pembalut pisang ke atau surat khabar….kita sambung cerita bab nie dilain lembaran. Banyak benda yang nak saya ceritakan …kalau cerita hari nie pun rasanya tak cukup. Kita sambung dilain waktu ya bab balut buah nangka. Penggunaan umpan protin dan methyl eugenol boleh dipraktikkan untuk mengawal lalat buah.

Penyakit Mati Rosot yang disebabkan oleh Kulat (Erwinia spp) merupakan ancaman utama dalam industri tanaman nangka. Penyakit ini boleh memusnahkan keseluruhan pokok nangka jika tidak dikawal diperingkat awal. Tanda serangan bermula dari peringkat atas atau pucuk dan pokok akan keguguran daun seterusnya kering dan mati.

Serangan penyakit  Cendawan Angin (Erytricum simoncolor) menyerang pokok nangka dimana kulat disebarkan melalui angin dan memusnahkan pokok nangka.

Musuh paling utama petani di TKPM Lanchang adalah masalah serangan babi hutan. Soalan lazim ditanya oleh petani,macamana nak kawal babi hutan nie...? Soalan yang sampai sekarang saya masih belum dapat menjawabnya kerana kawasan yang bertanam bukanlah seekar dua tapi ribuan ekar. Tak terkejar dan tercari kita …tambahan pula ada kawasan yang masih belum dibangunkan.Langkah pertama yang boleh saya kongsikan dengan tuan tuan semua kita kena terima hakikat kita telah mengganggu ekosistem babi hutan itu sendiri. Keduanya hamper kebanyakkan binatang yang ada sekarang nie telah mula meningkatkan ilmu kemahiran kendiri mereka. Mereka mula belajar dengan persekitaran yang baru. Jadi untuk mengawal mereka kita sendiri sebagai petani perlu memahami kehidupan mereka. Persoalannya nak ke kita belajar ilmu babi hutan nie…kena belajar tuan tuan.

Monyet atau kera pun sama. Boleh juga menjadi musuh utama. Yang ini kalau berlaku lagi parah dari babi sebab kalau babi dia main atas darat je…monyet diawang awangan. Penat weh kita memikir hal nie. Tak pe …kita sama sama kupas dilain waktu.   




Pokok nangka akan mula berbunga dan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam bergantung kepada faktur klon, kaedah pengurusan dan jenis tanah. Bunga akan keluar dari batang dan dahan pokok dan didebungakan oleh serangga seperti semut dan lain-lain serangga. Putik nangka perlu dibalut seawal mungkin untuk elakkan serangan lalat buah. Buat penjarangan buah dengan hanya membenarkan beberapa biji buah membesar untuk mendapatkan kualiti buah yang berkualiti. Kadar pengeluaran hasil nangka sekitar 12 - 15 metrik tan sehektar mengikut umur. Yang nie penting…kepada petani yang menanam nangka secara komersial. Prinsip pertama yang wajib dipegang kemas oleh petani,pastikan pokok nangka berhasilpada usia 3 tahun. Jangan lebih 4 tahun. Kalau ini terjadi pasti kesannya tidak baik terhadap ‘cash flow’ projek.’Cash Flow’lah pulak….benda apa nie….yang nie bab pengurusan dan kewangan. Saya tak sentuh kat sini…takut saya pun pening sama. Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah isu penjarangan atau kata mudahnya ‘buang putik buah’. Kan elok dibiarkan saja…jangan buang. Yang nie bergantung kepada pengurusan dan strategi pemasaran. Sifir mudahnya kalau tuan tuan nak buah besar ,buat penjarangan. Kalau nak buah kecil kecil dan banyak , biar je….yang nie kena jelas. Buyer tuan tuan nak buah macam mana….nak besar atau kecil. Kebiasaannya untuk tujuan eksport berat buah yang ideal adalah sekitar 12Kg ke 20Kg. Untuk pasaran domestic buah yang cantik sekitar 12kg – 15kg. Kenapa ya….ada sebabnya….lain kalilah sambung cerita bab nie.


Buah nangka yang matang akan dipetik dengan memotong tangkai buah dan di kumpulkan. Buah yang matang akan mengeluarkan bau wangi dan kulitnya agak licin dengan warna kulit agak hijau kekuningan. Buah yang matang di belah dua dan di keluarkan isinya untuk dimakan segar atau di simpan dalam suhu sejuk sebelum dipasarkan. Memetik buah pun ada sifir dan caranya  bergantung kepada dimana hendak dipasarkan. Kata mudahnya kalau untuk pasaran eksport kebiasannya kita petik awal berbanding  pasaran domestic. Berapa awal…panjang cerita…sebab kena ambil kira negara mana hendak dipasarkan,logistic punya isu….naik kapal terbang atau kapal laut….domestik pun sama…kena ambil kira masa perjalanan ….utara atau selatan.

Buang getah nangka dengan kertas atau kain dan getah yang melekat ditangan tersebut boleh dibuang dengan minyak masak atau teknik mengupas kulit nangka. Teknik mengupas kulit nangka nie tuan tuan bolehlah mencari didalam Youtube. Mudah betul sekarang nie…semua dihujung jari. ….itulah kelebihan zaman siber. Buah nangka muda sangat diminati untuk dijadikan sayuran. nangka muda (yang diambil untuk penakaian) di potong berbentuk kiub dan di makan sebagai ulam (selepas dicelur) atau di masak lemak dan sebagainya.



Menarik tak cerita nangka nie….menarik kalau waktu nie dapat merasa nangka madu ….saya sebenarnya cukup tak suka apabila orang sering mengaitkan buah buahan yang manis dan sedap di Malaysia ini dengan nama madu….nangka madulah,limau madulah,nanas madulah …..kalau bermadu tu mungkin sedap kalau betul caranya….

Sebab apa saya tak suka, sebab pengguna akan mudah terperangkap / tertipu dengan perkataan madu sedangkan contohnya nangka itu sendiri ada namanya…nangka J33 @ Tekam Yellow berisi tebal,bewarna kuning, rasanya manis,kurang berair dan sedap dimakan. Kalau nak rasa nangka J33@ Tekam Yellow terbaik datanglah ke TKPM Lanchang. Kami tak memanggilnya nangka madu,tidak juga J33, malahan bukan Tekam Yellow…nama manjanya Nangka Lanchang. Ingat TKPM Lanchang, ingat nangka Lanchang…..
  



# Pertanian Hebat
# Jabatan Pertanian Malaysia
# Suka Nangka
# Terima kasih  Anim Agro 

             

Isnin, 29 Januari 2018

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh Pahang Darul Makmur



TKPM LANCHANG adalah singkatan kepada Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang yang terletak di Daerah Temerloh, Pahang. TKPM ini merupakan satu projek TKPM paling luas di Malaysia dengan keluasan fizikal 3,600 hektar (10,000 ekar) yang mula dibangunkan semenjak tahun 2005. Kawasan yang dahulu hutan telah mula dibangunkan dengan membersihkan kawasan dan membuat infrastruktur ladang seperti jalan masuk utama, sistem pengairan, pembentung, kolam, jalan ladang, parit sempadan dan sebagainya. 
Projek ini dibiayai oleh kerajaan persekutuan dibawah kelolaan Jabatan Pertanian dengan bertujuan untuk menyediakan kawasan tanaman makanan khususnya buah-buahan dan sayuran kepada negara untuk pasaran domestik, pasaran eksport dan juga menyokong aktiviti hiliran ( industri pemprosesan hasilan pertanian).
Tanaman utama disini adalah tanaman nangka yang mana hampir 57% kawasan ini bertanam dengan tanaman nangka. Selain daripada nangka , kawasan ini juga ditanam dengan pelbagai jenis tanaman buah buahan tropika yang lain seperti pelbagai jenis limau, nanas , durian belanda , tembikai , belimbing , jambu batu , jambu air dan juga sayur sayuran.
Varieti tanaman nangka utama disini adalah varieti Tekam Yellow (J33). Nangka jenis lain yang ada ditanam di TKPM Lanchang ini adalah seperti Varieti Mastura (J37) dan Nangka Subang Chap Boy (J38) dan J39. Boleh dikatakan bahawa TKPM Lanchang merupakan kawasan pengeluaran nangka terbesar di negeri Pahang dan amnya di Malaysia dengan keluasan bertanam seluas 1000 hektar.
Data Keluasan Bertanam TKPM Lanchang Tahun 2017

TKPM Lanchang merupakan salah satu daripada 18 lokasi TKPM diseluruh Negeri Pahang dan 76 buah TKPM diseluruh Malaysia yang telah dibangunkan semenjak RMK ke 9 dan RMK Ke 10. Kini TKPM merupakan satu kawasan pengeluaran makanan yang utama di negara ini dengan pelbagai jenis produk makanan terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan. Projek TKPM ini melibatkan ramai petani dengan sistem pertanian yang lebih terancang dan berjaya. 
Pecahan Keluasan TKPM di Malaysia

TKPM Lanchang yang dibangunkan ini mempunyai dua sistem pengurusan iaitu Pengurusan Ladang oleh pihak Swasta dan Pengurusan Ladang oleh Usahawan. Keluasan pemilikan tanah TKPM bagi swasta diantara 20 hektar (50 ekar) sehingga seluas 200 hektar (500 ekar). Sementara itu keluasan bagi seorang usahawan pula adalah 8 hektar ( 20 ekar). 
Kesemua peserta perlu membayar sewaan tanah TKPM dengan kadar RM100 seekar (RM250 sehektar) setahun. Kini ( sehingga 31 Januari 2018 ) , terdapat seramai 40 syarikat yang telah beroperasi di TKPM Lanchang untuk memajukan tanah dengan keluasan fizikal 3,200 hektar.
Sementara itu , seramai 46 peserta TKPM Usahawan telah mengisi kekosongan lot - lot usahawan untuk dibangunkan dengan tanaman utama iaitu nangka. Ianya melibatkan kawasan fizikal seluas 400 hektar. 
Secara purata , pengeluaran buah nangka di TKPM Lanchang sekitar 150-200MT sebulan dengan purata harga ladang sekitar RM2000 - RM2500 per tan. Didapati trend pengeluaran buah nangka selalunya banyak pada bulan November -Januari dan Julai - Ogos. Walaubagaimanapun trend ini seringkali berubah mengikut faktor cuaca. 

MT Pengeluaran Keseluruhan Setiap Tahun 2005 - 2017 

Nilai Pengeluaran (RM) Keseluruhan Setiap Tahun 2005 - 2017

Syarikat mahupun peserta yang dipilih untuk menjadi peserta projek TKPM Lanchang ini perlulah melalui proses temuduga dan mennadatangani perjanjian sebagai peserta projek. 
Adalah menjadi tanggungjawab peserta untuk memastikan projek yang diusahakan berjaya dan mematuhi segala peraturan dan arahan dari pihak pewajib. Peserta juga diwajibkan untuk memohon persijilan myGAP ataupun myOrganik agar projek mereka lebih berdaya saing dimasa hadapan. Pihak peserta akan diberikan latihan dan maklumat yang mencukupi untuk menjalankan projek dengan jayanya disamping dibantu oleh pegawai Jabatan Pertanian dilapangan. 
Realitinya, peserta ini sentiasa dipantau oleh pasukan pemantau yang dilantik oleh pihak Jabatan dan Kerajaan Negeri. Sekiranya mereka gagal memajukan projek , pihak pengurusan akan menamatkan perjanjian mereka kerana gagal memenuhi atau melanggar syarat perjanjian sebagai peserta projek TKPM. Pihak pengurusan projek juga akan diaudit oleh pihak pengurusan tertinggi Jabatan setiap tahun agar projek ini terus berdaya saing dan memberi impak yang baik bukan sahaja kepada peserta tetapi juga kepada penduduk sekitar dan rakyat Malaysia amnya.  


# Bukan senang menjadi senang# Bukan susah menjadi susah# Tiada yang senang kalau tiada yang susah