SERONOK
SANGAT KE
TANAM NANGKA….
NANGKA (Artocarpus heterophyllus) adalah sejenis buah-buahan popular dari keluarga MORACEAE yang di tanam diMalaysia untuk di makan segar dan dii proses. Terdapat seluas 3,962 hektar tanaman nangka pada tahun 2010 dengan pengeluaran sebanyak 27,459 metrik tan (Sumber Laporan statistik Jabatan Pertanian 2010). Negeri Pahang merupakan paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 669 hektar diikuti dengan Negeri Johor (515 hektar) dan Sarawak (481 hektar) pada tahun 2010.
Untuk
tahun 2016 , luas bertanam untuk tanaman nangka bagi negeri Pahang adalah
seluas 2,299.42 hektar dengan daerah Temerloh menjuarai keluasan bertanam
983.48 hektar. Diikuti daerah Raub, 206.97 hektar dan Kuantan 183.89 hektar.
Kebanyakkan nangka yang ditanam di Pahang ditanam dikawasan Taman Kekal
Pengeluaran Makanan (TKPM ) yang ada di Pahang dimana TKPM Lanchang menjadi
kawasan pengeluar utama tanaman nangka untuk negeri Pahang.
Kebanyakkan
tanaman nangka yang diusahakan di TKPM ditanam secara komersial sebagai tanaman
tunggal (monocrop) atau tanaman campuran dengan buah-buahan lain.
Nangka
adalah tanaman saka yang mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan ketinggian
mencapai 15-20 meter. Daun nangka berwarna hijau gelap dan agak tebal serta
mempunyai getah. Buah nangka terbentuk selepas pendebungaan yang keluar dari
dahan dan batang pokok. Buah nangka adalah berbentuk bulat lonjong berwarna
hijau ketika putik dan kuning kehijauan apabila masak. Bahagian ira nangka yang
di makan lazimnya berwarna kuning kemerahan bergantung kepada varieti. Biji
nangka berbentuk bulat dan mengandungi isi warna putih. Buah Nangka yang masak
sering mengeluarkan getah yang melekit
ketika di kupas untuk mengeluarkan isinya. Seringkali kita mendengar kalau
makan nangka perut kembung. Sebenarnya isi nangka bukanlah penyebab utama perut
kita menjadi kembung tetapi permasalahan yang wujud adalah kerana kita termakan
getah nangka. Kandungan getah nangka yang termakan oleh kita itu apabila
termakan akan bertindakbalas dengan asid yang ada dalam perut kita akan
menjadikan perut kita kembung. Tetapi percayalah , apabila anda makan buah
nangka variety J33 atau lebih dikenali dengan nama Tekam Yellow , pasti anda
ingin mencuba lagi. Anda hanya akan kembung jika perut anda tidak berisi penuh
nangka J33.
Isi nangka
biasanya manis dan sesuai dimakan segar atau boleh diproses sebagai 'minimum
process' dan disejukkan dalam peti sejuk dan rasa buah nangka yang lagi sejuk
adalah lebih sedap.
Buah
nangka terutamanya variety J33 ( Tekam Yellow ) amat sesuai di proses untuk
dijadikan "Vacum Fry of jackfruit chip". Ianya mempunyai
potensi yang sangat besar untuk dipasarkan diluar negara. Kalau dahulu nangka
hanya boleh didapati dinegara beriklim tropika, tetapi kini nangka boleh
didapati dikebanyakkan negara didunia sekiranya ia dijadikan ‘Vacum Fry of Jackfruit Chip ’. Harga ‘vacum fry of Jackfruit chip’ ini
dipasaran juga amat tinggi iaitu sekitar RM8-RM12 sepeket kecil ( anggaran
berat sekitar 50gm – 70gm ). Agak mahal tetapi amat berbaloi jika diusahakan
untuk pasaran antarabangsa.
Bercakap
pasal kesesuian tanaman nangka , nangka ini sesuai ditanam diatas tanah lom
berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Perlu diingat kelemahan utama pokok
nangka adalah kawasan yang rendah dan mudah terendam air. Ianya tidak akan
kekal lama bertahan dan keberangkalian pokok tersebut mati teramat tinggi. Ada
petani mengatakan sekirannya pokok nangka terendam melebihi 8 jam, kemungkinan
pokok nangka akan mati.
Nangka
sesuai ditanam dikawasan terbuka dan mendapat cahaya matahari yang mencukupi
untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembungaan. Scara teorinya kebanyakkan
tanaman buah buahan memerlukan cahaya matahari yang banyak dan juga sistem
pengudaraan yang baik. Dengan pencahayaan yang banyak , maka mudahlah daun
pokok membina makanan ( proses fotosintesis berlaku dengan sempurna ).
Pengudaraan juga amat penting dalam pengurusan pokok nangka. Oleh itu
disarankan pokok nangka perlu dibuat cantasan ‘pembentukkan’ , ‘penjagaan’
dan ‘topping’.
Tanah
perlu dibajak atau di bersihkan dari semak samun sebelum menanam untuk
mendapatkan kesuburan pokok yang optima dan sediakan sistem pengairan dengan
sempurna. Kawasan yang dibersihkan perlulah bersih dari sebarang tunggul kayu
samada dipermukaan tanah mahupun didalam tanah. Ini amat penting kerana
sekiranya tunggul kayu ini dibiarkan untuk mereput sendiri, berkemungkinan
ianya akan mengundang anai – anai. Perlu diingat, anai – anai amat menyukai
bahan kayu yang mereput. Dikhuatiri dalam jangkamasa panjang, anai – anai ini
bukan sahaja akan memakan tunggul kayu yang reput bahkan akan memakan pangkal
pokok nangka juga. Walaubagaimanapun kawalan anai anai ini masih boleh dikawal
dengan menggunakan racun anai anai tetapi persoalannya kita telah menambah
kerja dan kos penyelenggaraan yang sepatutnya. Sistem pengairan ini selalu
menjadi persoalan…, perlu ke pasang? Kalau tanam sayur memang wajiblah. Untuk
menjawab persoalan ini , secara asasnya semua tanaman memerlukan 3 perkara asas
iaitu ABC ( air , baca dan cahaya ). 6 bulan pertama nangka amat amat
memerlukan air dimana diwaktu inilah segala sistem pokok nangka itu akan mula
berkembang. Saya selalu berpesan kepada petani, kalau inginkan pokok nangka
membesar dengan baik dengan harapan akan menghasilkan buah yang berkualiti , 6
bulan pertama tumbesaran pokok nangka perlu diberi tumpuan. Umpama menjaga
‘baby’ yang baru lahir…begitulah kasih sayang kita terhadap tumbesaran nangka.
Dari pengalaman saya , dalam masa 6 bulan nangka terutamanya J33 akan membesar
mencapai paras pinggang orang normal ( 3 – 3.5 meter ) ketinggian dan kanopi
pokok mula kelihatan merimbun. Kalau tak capai pasti ada kesilapan dimana –
mana. Nangka juga perlukan air semasa peringkat pengeluaran buah. Inginkan buah
yang besar dan berkualiti eksport , bagilah air secukupnya kepada nangka selain
pembajaan dan pengurusan yang betul. Ada juga petani mengatakan inginkan buah
nangka berterusan, pastikan ladang kita dipasang sistem pengairan. Tetapi persoalan yang sering bermain, ladang
kecil bolehlah dipasang pengairan ……ladang bersaiz besar bagaimana . Kos
memasang pengairan bukanlah murah. Perkara ini akan saya kupas dilain
lembaran.
Memasang pagar ladang untuk mengelakan serangan
binatang liar dan ternakan serta potensi kecurian dari penceroboh. Isunya nak
pakai pagar jenis apa…. Yang nie bergantung kepada budget dan gaya pengurusan.
Kalau budget rendah kenalah cari pagar yang agak murah sikit dan perlu diingat
tak semestinya yang murah itu tak baik. Mungkin lebih baik, bergantung kepada
pengurusan pula. Yang paling penting kita pasang pagar nie untuk apa…kenalpasti
musuh musuh kita, samada binatang liar , ternakan atau manusia itu
sendiri.
Nangka di
tanam menggunakan anak benih dari varieti atau klon nangka terpilih. Penyediaan anak benih nangka dijalankan dengan mengenalpasti dan mengesahkan
varieti pokok induk (Jabatan Pertanian ada Skim Pengesahan Pokok Induk
Tanaman Nangka). Pilih buah yang telah cukup matang dan keluarkan
bijinya. Biji yang sesuai di masukkan dalam tapak semaian sehingga bercambah
dan kemudian dipindahkan kedalam polibeg. Anak benih nangka juga boleh di buat
cantuman kepada anakbenih dengan klon terpilih. Jika hendak beli anakbenih
nangka dapatkan dari Jabatan Pertanian atau lain2 organisasi kerajaan atau
pembekal benih swasta yang telah disahkankan ketulinan varietinya. Harga anak
benih nangka lingkungan RM 5.00 (Jabatan Pertanian) hingga RM 15.00 sepokok
(swasta) bergantung kepada verieti/klon , saiz pokok, jumlah dibeli dan kualiti
anakbenih. Yang ni penting…sebab apa kita taknaklah tanam anak pokok yang tidak
bermutu…sebab ramai kawan kawan kita terkena. Dikhabarkan inilah benih nangka
yang diviralkan kononnya berisi tebal , bewarna kuning bercahaya, manis
melepasi indeks kemanisan 20 keatas , mempunyai bau wangi searoma nangka dan
sebagainya. Persoalannya , kita nampak ke atau dapat rasa buah waktu tu …inilah
anaknya. Kita hanya akan tahu hasil nangka tersebut samada berkualiti atau
tidak selepas 3 tahun berhasil. Lama tu tunggu 3 tahun …kalau baru berkahwin
boleh dapat anak 3 rasanya. Jadi disinilah kita perlu mendapat kesahihan benih
…sekarangkan mudah…internet kan ada…google je …semua dihujung jari …malas
sangat terus ke halaman Jabatan Pertanian. Buat carian kat situ… tak puas hati
lagi terus ke Pejabat Pertanian atau pusat pusat pertanian terdekat.Gunakan
khidmat mereka sebaiknya….pasti ada jawapan disitu.
2 perkara
diatas yang saya sebutkan tadi merupakan langkah awal yang akan menentukan
sejauh mana kejayaan projek. Ianya umpama larian 100meter. Permulaan itu adalah
dan teramat penting kerana selepas ini tuan tuan akan berlari secara marathon
pula menunggu hasil….
Sediakan
lubang penanaman dengan jarak 9 meter x 9 meter untuk memberikan kepadatan
tanaman nangka sebanyak 123 pokok sehektar. Jarak ini adalah jarak yang
disyorkan oleh Jabatan Pertanian hasil dari pemerhatian dan kajian. Ada orang
bertanya kepada saya , kalau saya nak tanam rapat lagi boleh tak…jarang pula
orang bertanya nak tanam jauh jauh….kenapa ya. Jawapannya mudah sahaja, lihat gaya
pengurusan ladang tuan tuan. Ada penggunaan jentera tak…jentera tu untuk
apa.Bentuk muka bumi juga diambil kira. Varieti nangka yang hendak ditanam juga
memainkan peranan. Untuk makluman nangka mempunyai pelbagai varieti dan setiap
variety mempunyai keistimewaan dan kelemahannya. Macam kita beli kereta… Sebelum
memulakan projek kita perlu membuat “Rekabentuk Ladang” berdasarkan apa yang
kita gambarkan atau inginkan seiring dengan gaya pengurusan yang akan kita
amalkan juga teknologi dan jentera yang akan kita gunakan pada masa terdekat
dan akan datang. Sebab apa “rekabentuk ladang” itu penting…sebab ianya akan
menentukan kos pengurusan ladang dimasa hadapan. Ini perkara baru yang tengah
saya pelajari hasil dari pemerhatian saya terhadap beberapa ladang yang ada di
Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang. Menarikkan …’Rekabentuk
Ladang’atau ‘Farm Design’.
Pemilihan
anakbenih yang sihat dan bebas dari sebarang penyakit adalah wajib dibuat
sebelum ditanam dalam lubang yang telah dibubuh baja asas (MOP) dan baja
organik (Tahi ayam) dengan kadar disyorkan. Pastikan menanam tidak terlalu
dalam kerana jika air bertakung dalam lubang penanaman anakbenih akan mati. Ini
seringkali dibuat oleh petani. Kononnya dengan ada sedikit takungan boleh
membantu membekalkan air kepada anak pokok nangka. Macam saya maklumkan diawal
tadi, anak benih nangka nie takut terendam air tetapi perlukan air. Jadi
janganlah menanam terlalu dalam. Kesian kat anak pokok tu…waktu yang sama
kesian juga kat kita sebab kita kena kira sepokok yang mati berapa RM duit kita
dah melayang…tak termasuk lagi kos tenaga kerja dan sebagainya.
Tutup
anakbenih dengan daun kelapa atau keliling dengan netting hitam atau lain-lain bahan yang sesuai dan jalankan penyiraman.
Seboleh bolehnya disiram setiap hari sekurang kurangnya satu kali sehari. Kalau
tak mampu pun buatlah 3@4 kali dalam seminggu. Macam yang saya cakap diawal
tadi, 6 bulan pertama adalah bulan bulan kritikal yang akan menentukan nasib kita
3 tahun kehadapan. Tandakan dengan
pancang untuk memudahkan pemeriksaan. Lazimnya kawasan keliling tanaman nangka
ditanam dengan tanaman kontan seperti pisang, betik, sayur-sayuran, jagung,
keladi dan sebagainya sementara menunggu pokok nangka membesar. Yang nie ada
bagus dan buruk. Yang bagus tuan tuan boleh buat duit projek dalam projek. Tapi
kena rajin dan mempunyai kemampuan modal. Yang buruknya kalau tuan tuan tak
mampu dari segi usaha , modal dan sebagainya …lebih baik fokus kepada satu
tanaman sahaja. Kita tak mahu nanti nangka entah kemana…pisang dan sebagainya
hanyut dilautan tak bertepi.
Selepas
menanam perlu dijalankan pemeriksaan anak pokok untuk mempastikan hanya tunas
klon nangka dibenarkan tumbuh. Sering berlaku dimana tunas pokok penanti
(Biasanya lebih cepat membesar dan vigorous) lebih tinggi dibiarkan dan menjadi
pokok sedangkan tunas klon terpilih bersaiz kecil. Ini biasa terjadi sebab
pekerja atau empunya ladang ( tauke ) tak kenal mana satu tunas penanti dan
tunas klon. Jadi berhati hati disini. Kesilapan memotong membawa padah kepada
anda …boleh merana dikemudian hari. Buang tunas pokok penanti dan benarkan
tunas klon yang membesar dan buat pemeriksaan dengan teliti.
Cantasan pembentukan di mulakan semenjak awal lagi dengan membuang dahan (Fan shape -
terutama klon nangka mastura) sekurang-kurangnya 2 kaki dari paras tanah. Ini
akan memudahkan kerja-kerja pengurusan pokok nangka kemudian kelak seperti
merumput, membaja, mengawal penyakit dan memetik hasil. Buah yang terlalu rendah
juga mudah di serang binatang dan kotor. Kebiasaannya cantasan pembentukkan
pertama dibuat selepas 3 bulan bertanam atau lebih kurang 2-3 kali tingginya.
Kalau saya , 3 bulan anak pokok nangka sepatutnya sampai paras lutut
ketinggiannya. Perkara ini juga akan dibincangkan dilain lembaran memandangkan
cantasan ini ramai petani yang tidak membuatnya kerana sayangkan pokok.
Sebenarnya salah…sayang sayang juga, tapi apalah gunanya kalau tidak ditunjuk
ajar diawal awal lagi. Sayang sayang isteri ditingal tinggalkan….jangan
tinggalkan terus sudahlah…begitu juga nangka.
Beberapa
klon atau varieti popular nangka di Malaysia yang sesuai dan disyorkan ditanam
adalah seperti Klon J29, Klon J30, Klon J31, Klon Tekam Yellow, Klon
Mastura, Klon Mantin dan Klon Kristal. Terdapat lebih 25
klon nangka yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian semenjak 1936 (
Jabatan Pertanian). Klon nangka J29 mempunyai saiz besar melebihi 10 kg sebiji
dengan kulit berwarna kuning dan isi kuning kemerahan. Lain-lain nangka yang berpotensi
ditanam seperti Nangka Uncle Hong, Nangka Madu ( didakwa
sebagai J33 @ Tekam Yellow ) dan beberapa yang lain. Klon J21 pula kecil
sedikit dan sesuai untuk diekspot kerana ciri-ciri rasa manis, tahan dan
disukai pengguna. Klon nangka mastura tahan kepada penyakit mati pucuk dan
isinya agak berair serta 'crispy'. Di TKPM Lanchang, klon yang banyak ditanam
adalah J33 @ Tekam Yellow. Hampir 97% kawasan ini ditanam dengan klon ini. Apa
menariknya nangka J33 nie…yang nie juga akan saya kupas dilain lembaran.
Menarikkan cerita nangka nie…patutlah ada cerita lagenda berkaitan nangka ….yang
tu cari sendiri.
Program pembajaan tanaman nangka dimulakan semasa mula menanam iaitu dengan masukkan CIRP
dan baja organan kedalam lubang penanaman. Pembajaan dengan baja NPK 15:15:15
dengan kadar sebanyak 0.50 kg sepokok setahun diberikan setiap 3 bulan sekali
pada tahun pertama. Kadar pembajaan semasa pembesaran (vegetative stage) ditambah
kepada 1.0 kg/pokok/tahun pada tahun kedua, 1.5 kg/ pokok/ tahun pada tahun
ketiga dan keempat. Pembajaan dengan baja buah NPK 12:12:17:2 sebanyak 1.5 - 2
kg sepokok setahun di berikan untuk menggalakkan penghasilan bunga dan buah.
Baja organan sebanyaj 2-5 kg sepokok setahun diberikan untuk meningkatkan
kesuburan tanah. Pastikan baja di tabur di sekitar kanopi pokok nangka (Bukan
di perdu pokok). Terdapat petani di Johor yang menggunakan baja impot (Fast
Release) seperti jenama Yara untuk menghasilkan buah nangka gred
premium. Bab pembajaan ini agak subjektif untuk dibincangkan ….terlalu banyak
isu. Rasanya elok juga lembaran khas untuk membincangkannya….
Musuh
utama tanaman nangka adalahLalat Buah (Bactocera spp) yang akan bertelur dan larvanya akan merosakkan kualiti buah.
Kaedah kawalan perosak lalat buah adalah dengan membalut putik nangka ketika
putik lagi dengan kain, kertas , plastik dan sebagainya. Kebiasaanya petani di
TKPM Lanchang menggunakan guni baja samada baru atau lama. Guni baja yang
digunakan juga tidak boleh sembarangan. Nanti buah akan rosak….banyak pula
ragamnya buah nangka ya….sabar….pasti ada jalan penyelesaian. Secara teknikal
mudahnya pastikan guni yang dipakai itu bersih, tiada sisa atau lebihan baja…buat
macam mana ya nak bagi bersih…basuhlah….banyak kerja weh kata orang Temerloh.
Jadi kami tak guna guni baja …sebab petani kat sini malas sikit…mereka lebih
berminat menggunakan beg guni makanan ikan. Maklumlah Temerloh glamour dengan
ikan patin. Secara tak langsung petani kami telah membantu penternak ikan
melupuskan sisa buangan mereka bahkan memberi nilai tambah pula. Kata orang ,
saling tolong menolong katakan….dapat makan nangka, dapat merasa ikan patin Temerloh
yang terkenal dengan rasanya dan harganya…boleh tahan wehh….tapi umpph…papaleh
sedapnya. Kenapa tak guna media lain….guni pembalut pisang ke atau surat khabar….kita
sambung cerita bab nie dilain lembaran. Banyak benda yang nak saya ceritakan …kalau
cerita hari nie pun rasanya tak cukup. Kita sambung dilain waktu ya bab balut
buah nangka. Penggunaan umpan protin dan methyl eugenol boleh dipraktikkan
untuk mengawal lalat buah.
Penyakit
Mati Rosot yang disebabkan oleh
Kulat (Erwinia spp) merupakan ancaman utama dalam industri tanaman nangka. Penyakit
ini boleh memusnahkan keseluruhan pokok nangka jika tidak dikawal diperingkat
awal. Tanda serangan bermula dari peringkat atas atau pucuk dan pokok akan
keguguran daun seterusnya kering dan mati.
Serangan
penyakit Cendawan Angin (Erytricum
simoncolor) menyerang pokok nangka dimana
kulat disebarkan melalui angin dan memusnahkan pokok nangka.
Musuh paling utama petani di TKPM Lanchang adalah masalah serangan babi hutan. Soalan lazim
ditanya oleh petani,macamana nak kawal babi hutan nie...? Soalan yang sampai
sekarang saya masih belum dapat menjawabnya kerana kawasan yang bertanam
bukanlah seekar dua tapi ribuan ekar. Tak terkejar dan tercari kita …tambahan
pula ada kawasan yang masih belum dibangunkan.Langkah pertama yang boleh saya
kongsikan dengan tuan tuan semua kita kena terima hakikat kita telah mengganggu
ekosistem babi hutan itu sendiri. Keduanya hamper kebanyakkan binatang yang ada
sekarang nie telah mula meningkatkan ilmu kemahiran kendiri mereka. Mereka mula
belajar dengan persekitaran yang baru. Jadi untuk mengawal mereka kita sendiri
sebagai petani perlu memahami kehidupan mereka. Persoalannya nak ke kita
belajar ilmu babi hutan nie…kena belajar tuan tuan.
Monyet
atau kera pun sama. Boleh juga menjadi musuh utama. Yang ini kalau berlaku lagi
parah dari babi sebab kalau babi dia main atas darat je…monyet diawang awangan.
Penat weh kita memikir hal nie. Tak pe …kita sama sama kupas dilain waktu.
Pokok
nangka akan mula berbunga dan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam bergantung
kepada faktur klon, kaedah pengurusan dan jenis tanah. Bunga akan keluar dari
batang dan dahan pokok dan didebungakan oleh serangga seperti semut dan
lain-lain serangga. Putik nangka perlu dibalut seawal mungkin untuk elakkan
serangan lalat buah. Buat penjarangan buah dengan hanya membenarkan beberapa
biji buah membesar untuk mendapatkan kualiti buah yang berkualiti. Kadar
pengeluaran hasil nangka sekitar 12 - 15 metrik tan sehektar mengikut umur. Yang
nie penting…kepada petani yang menanam nangka secara komersial. Prinsip pertama
yang wajib dipegang kemas oleh petani,pastikan pokok nangka berhasilpada usia 3
tahun. Jangan lebih 4 tahun. Kalau ini terjadi pasti kesannya tidak baik
terhadap ‘cash flow’ projek.’Cash Flow’lah pulak….benda apa nie….yang
nie bab pengurusan dan kewangan. Saya tak sentuh kat sini…takut saya pun pening
sama. Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah isu penjarangan atau
kata mudahnya ‘buang putik buah’. Kan elok dibiarkan saja…jangan buang. Yang
nie bergantung kepada pengurusan dan strategi pemasaran. Sifir mudahnya kalau
tuan tuan nak buah besar ,buat penjarangan. Kalau nak buah kecil kecil dan
banyak , biar je….yang nie kena jelas. Buyer tuan tuan nak buah macam mana….nak
besar atau kecil. Kebiasaannya untuk tujuan eksport berat buah yang ideal
adalah sekitar 12Kg ke 20Kg. Untuk pasaran domestic buah yang cantik sekitar
12kg – 15kg. Kenapa ya….ada sebabnya….lain kalilah sambung cerita bab nie.
Buah
nangka yang matang akan dipetik dengan memotong tangkai buah dan di kumpulkan.
Buah yang matang akan mengeluarkan bau wangi dan kulitnya agak licin dengan
warna kulit agak hijau kekuningan. Buah yang matang di belah dua dan di
keluarkan isinya untuk dimakan segar atau di simpan dalam suhu sejuk sebelum dipasarkan.
Memetik buah pun ada sifir dan caranya bergantung kepada dimana hendak dipasarkan.
Kata mudahnya kalau untuk pasaran eksport kebiasannya kita petik awal berbanding
pasaran domestic. Berapa awal…panjang
cerita…sebab kena ambil kira negara mana hendak dipasarkan,logistic punya isu….naik
kapal terbang atau kapal laut….domestik pun sama…kena ambil kira masa
perjalanan ….utara atau selatan.
Buang
getah nangka dengan kertas atau kain dan getah yang melekat ditangan tersebut
boleh dibuang dengan minyak masak atau teknik mengupas kulit nangka. Teknik
mengupas kulit nangka nie tuan tuan bolehlah mencari didalam Youtube. Mudah
betul sekarang nie…semua dihujung jari. ….itulah kelebihan zaman siber. Buah
nangka muda sangat diminati untuk dijadikan sayuran. nangka muda (yang diambil
untuk penakaian) di potong berbentuk kiub dan di makan sebagai ulam (selepas
dicelur) atau di masak lemak dan sebagainya.
Menarik
tak cerita nangka nie….menarik kalau waktu nie dapat merasa nangka madu ….saya
sebenarnya cukup tak suka apabila orang sering mengaitkan buah buahan yang
manis dan sedap di Malaysia ini dengan nama madu….nangka madulah,limau
madulah,nanas madulah …..kalau bermadu tu mungkin sedap kalau betul caranya….
Sebab apa
saya tak suka, sebab pengguna akan mudah terperangkap / tertipu dengan
perkataan madu sedangkan contohnya nangka itu sendiri ada namanya…nangka J33 @
Tekam Yellow berisi tebal,bewarna kuning, rasanya manis,kurang berair dan sedap
dimakan. Kalau nak rasa nangka J33@ Tekam Yellow terbaik datanglah ke TKPM Lanchang.
Kami tak memanggilnya nangka madu,tidak juga J33, malahan bukan Tekam Yellow…nama
manjanya Nangka Lanchang. Ingat TKPM Lanchang, ingat nangka Lanchang…..
# Pertanian Hebat
# Jabatan Pertanian Malaysia
# Suka Nangka
# Terima kasih Anim Agro
# Jabatan Pertanian Malaysia
# Suka Nangka
# Terima kasih Anim Agro